Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, melahirkan kekecewaannya sambil menjauhi topik dua penyokong yang dijatuhi hukuman selepas melaungkan ejekan terhadap kematian Sir Bobby Charlton.

Malah, Guardiola menegaskan pasangan itu sama sekali tidak mewakili kelab berkenaan.

Rakaman di media sosial menunjukkan dua orang peminat bawah umur mengejek Charlton ketika perlawanan City menentang Brighton berlangsung hujung minggu lalu, sebaik kematian legenda Manchester United itu diumumkan.

City, bagaimanapun, bertindak pantas, dengan melabel laungan itu sebagai satu perbuatan keji menjelang perlawanan 'derby Manchester' di Old Trafford, esok di mana United akan mengadakan upacara selama seminit demi mengenang legenda tersebut sebelum sepak mula.

Guardiola berharap penyokong pelawat akan beradab sambil mengecam tingkah laku dua penyokong itu yang telah digantung daripada menghadiri sebarang perlawanan City di tempat sendiri dan di tempat lawan.

“Mereka tidak mewakili kami,” kata pengurus itu.




"Alkohol membawa perkara buruk kepada manusia. (Duta kota) Mike Summerbee berkunjung ke Old Trafford untuk menandatangani buku ucapan takziah untuk Charlton, dia yang mewakili kami.

“Kami sangat menghormati Manchester United, lebih-lebih terhadap ikon seperti Sir Bobby Charlton.

"Kami melahirkan simpati kepada Man United dan bola sepak Inggeris.”