Skip to main content

Bola Sepak

Penyokong Atletico akan kagum dengan Wanda Metropolitano -- Simeone

wandametropolitano-cropped_1g92im9p2br111l96jwad06l7s-(1).jpg
Diego Simeone akhirnya akan dapat merasai suasana beraksi di laman sendiri apabila Atletico Madrid bakal memulakan aksi di Stadium Wanda Metropolitano buat julung kalinya.

Selepas menempuh empat perlawanan bagi musim 2017-18 di laman lawan, termasuk aksi berdepan AS Roma dalam Liga Juara-Juara, Atleti kini bakal memulakan kehidupan baru di Wanda Metropolitano berdepan Malaga, hari ini.

Meskipun teruja bakal merasai kapasiti penyokong sehingga 67,000, Simeone mahu memastikan fokus utama dapat dilaksanakan, iaitu mengutip tiga mata.

"Kami hanya bermain di laman lawan, jadi sudah tentu kami berasa gembira kerana dapat beraksi di laman sendiri di mana kami dapat bersama-sama penyokong kami," katanya.

"Tiga aksi LaLiga dan satu Liga Juara-Juara kami ditemani sekelompok kecil penyokong ekoran beraksi di laman lawan. Apa yang penting ketika ini, kami akan beraksi di laman sendiri.

"Fokus kami ketika ini terarah kepada Malaga. Mereka miliki ramai pemain berkualiti di samping ditemani jurulatih yang hebat. 

"Disebabkan mereka memiliki skuad yang hebat, kami perlu memberikan tumpuan sepenuhnya. Kami perlu berasa selesa sambil ditemani sorakan penyokong."

Simeone percaya penyokong Atleti akan menjadikan stadium baru ini medan yang sukar buat pasukan lawan.

"Penyokong mungkin akan sedar kawasan di luar stadium masih memerlukan penambahbaikan tetapi ia perkara biasa kerana stadium ini masih dalam pembinaan. Tetapi sebaik mereka menjejakkan kaki ke dalam stadium, mereka akan kagum dengan suasana sekeliling," tambahnya.

"Saya hanya boleh membayangkan penyokong bersorak kuat. Mereka akan memainkan peranan besar untuk pasukan.

"Kedudukan penyokong lebih rapat dengan padang berbanding ketika di Vicente Calderon. Kini lebih ramai penyokong yang dapat menyaksikan kami bermain."

 

Advertisement

Must Watch Video