Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, berkata penurunan prestasi pasukannya adalah perkara biasa dalam bola sepak menjelang perlawanan menentang Crystal Palace pada Sabtu ini.
Pasukannya tewas 0-2 kepada Ipswich Town dalam perlawanan terakhir mereka pada 2024, menjadikan mereka tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Walaupun prestasi menurun, Maresca tidak terkesan dan menggesa pasukannya untuk bangkit semula menentang Crystal Palace di Selhurst Park.
“Kami sudah menjangkakan saat seperti ini dalam musim ini kerana kami tahu ini adalah sebahagian daripada bola sepak,” katanya kepada Sky Sports.
“Mustahil untuk mempunyai musim tanpa saat seperti ini bagi kami.”
Chelsea kini berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Liverpool, sementara mereka mendahului Newcastle di tangga kelima dengan tiga mata.
Maresca menjelaskan bahawa tiada siapa yang menjangkakan Chelsea akan berada di kedudukan mereka ketika ini.
“Ini menunjukkan bahawa kami berada di arah yang betul, seperti yang saya katakan banyak kali, ia menunjukkan bahawa kami jauh dari bersaing secara konsisten dan berada dalam kalangan pasukan terbaik di England.
“Sekali lagi, saya rasa kami perlu berpuas hati dengan kedudukan kami tetapi pada masa sama, kami perlu tahu bahawa kami perlu melakukan banyak perkara dengan lebih baik.”
Hanis Natasya Lizam
Thu Jan 02 2025