SERIE A
Pengurus tuntut Milan terus beri tekanan kepada Inter
Stefano Pioli menganggap trofi liga tidak akan dimenangi pada bulan ini sambil mencabar Milan untuk meningkatkan permainan mereka apabila menentang Napoli, awal pagi esok.
Inter mendahului saingan dengan empat mata di depan Rossoneri selepas menundukkan Salernitana 5-0, semalam.
Juara bertahan itu melonjak ke puncak Serie A menerusi enam kemenangan berturut-turut sementara Milan tergelincir ke tangga kedua selepas terikat 1-1 di Udinese, selain tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) dengan kekalahan 1-2 di tempat sendiri di tangan Liverpool.
Iklan
Pioli berkata masih terlalu awal untuk bercakap mengenai peluang Inter menjarakkan diri apabila menekankan bahawa Milan mendahului liga untuk sebahagian besar musim lalu sebelum tersungkur.
Pengurus Milan itu berkata dalam sidang akhbar: "Saya tidak fikir kami boleh bercakap tentang soal menjarakkan kedudukan, saya fikir Inter telah menunjukkan kualiti yang dimiliki.
"Kejuaraan tidak dimenangi pada Disember. Kami mendahului saingan musim lalu untuk tempoh yang lama dan kami sedar bagaimana ia berakhir. Kami perlu memperbaiki diri.
"Pada musim pertama kendalian saya, kami mengumpul 66 mata bermula dari kedudukan yang sukar. Tahun kedua pula 79 mata. Matlamat tahun ini adalah untuk melakukan yang lebih baik lagi, lebih-lebih lagi dalam pusingan kedua saingan ini."
Pumping iron to show our resolve ?Forza ragazzi! ?#MilanNapoli #SempreMilan @BitMEX pic.twitter.com/houm7wzS0C— AC Milan (@acmilan) December 17, 2021
Menurutnya lagi: "Kami mengharungi pusingan pertama yang sangat baik, masih ada baki dua perlawanan lagi. Saya ingin melepasi kutipan 43 mata yang diraih tahun lalu (sebelum kempen berehat).
“Lawan esok mempunyai kualiti yang hebat dan pengurus yang cemerlang, sudah pasti kami perlu meningkatkan tahap prestasi.
"Kami tidak bersaing dengan sesiapa sebaliknya hanya dengan diri kami sendiri. Dua persembahan terakhir tidak optimum, kami perlu cuba untuk mempamerkan kualiti persembahan menerusi kekuatan dan keyakinan."
Must-Watch Video