Pemain Newcastle United, Alexander Isak, menegaskan bahawa anugerah individu bukanlah keutamaannya melain memastikan kejayaan pasukan sambil sentuhan penyudahnya terus menjadi-jadi ketika menghukum Wolves 3-0, semalam.

Isak menjaringkan gol berganda ketika menentang pasukan bimbingan Vitor Pereira itu untuk melebarkan jumlah jaringanya kepada 15 gol dalam 19 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mengikuti rapat Erling Haaland (16) dan Mohamed Salah (18).

Dia kini telah merobek gawang lawan dalam lapan perlawanan berturut-turut, tiga gol lagi untuk menyamai rekod Jamie Vardy, namun bintang Sweden itu menegaskan bahawa fokusnya kekal untuk membantu Newcastle naik ke tangga teratas.

"Saya berasa luar biasa. Secara individu, saya berasa bebas dan yakin tetapi berdasarkan pasukan, kami juga beraksi dengan baik, bertahan dan melancarkan asakan," katanya selepas perlawanan.



"Ia adalah mengenai sebuah pasukan dan saya perlu terus menyumbang menerusi gol.

"Apabila kami bermain di tahap terbaik, pemain akan berasa bebas. Di kedudukan saya juga, saya mahu dapat membuktikan kemampuan dengan cara terbaik.

"Rekod adalah perkara yang anda akan nikmati selepas menggantung but.

"Saya turun dalam setiap perlawanan dengan mentaliti yang sama. iaitu untuk menjaringkan gol kerana ia mampu membantu pasukan."