Penang FC berhasrat melupakan kekalahan di derbi utara tempohari sekaligus bangkit menyerlah untuk mencatatkan kemenangan kedua mereka musim ini apabila menentang PDRM FC.

Tewas tipis 1-0 di Stadium Darul Aman kepada Kedah dalam aksi terdahulu ternyata mengecewakan skuad kendalian Manzoor Azwira dan kini meletakkan sasaran untuk bangkit apabila berdepan PDRM esok.

"Kami sangat kecewa kerana gagal mendapatkan sebarang mata ketika bertemu Kedah. Namun bertemu PDRM di tempat sendiri, saya menasihatkan kepada pemain supaya kembali fokus dan cuba mendapatkan kemenangan," kata Manzoor.

"PDRM pasukan yang agak berkualiti kerana mereka cuba menghadirkan tentangan ketika bertemu Sri Pahang dalam aksi terdahulu. Jadi kami tidak akan mengambil mudah dan bertahan dengan baik serta menyerang dalam usaha mendapatkan kemenangan."

Sementara itu, pemain tengah, Hadin Azman, menyeru rakan sepasukannya supaya memberikan tumpuan seratus peratus terhadap skuad PDRM yang mampu melakar kejutan di perlawanan pada Ahad nanti.

"Penang akan cuba memberikan tumpuan sepanjang perlawanan dan memastikan tiada kesilapan mudah berlaku bagi membenarkan lawan menghukum kami dan cuba untuk mendapatkan kemenangan beraksi di laman sendiri," katanya.