Pemain bola sepak kebangsaan Indonesia mengambil kesempatan menunaikan ibadah umrah menjelang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia menentang Arab Saudi.

Menerusi perkongsian akaun penyokong bola sepak Extra Time Indonesia, beberapa pemain dilihat berada di tanah suci Kota Mekah untuk menunaikan ibadah umrah.

Antara pemain yang dilihat mengenakan pakaian ihram untuk menunaikan ibadah tersebut termasuklah Ramadhan Sananta, Egy Maulana, Pratama Arhan, Ernando Ari, Ragnar Oratmangoen, dan Rizky Ridho.

Menjelang pertemuan bertemu Arab Saudi pada pukul 2 pagi Jumaat nanti, 12 pemain bersama ketua jurulatih Shin Tae-yong telah berlepas dari Jakarta pada 1 September disusuli 14 pemain yang selebihnya berkelana di liga luar Indonesia.

Indonesia merupakan satu-satunya negara ASEAN yang lolos ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia dan telah diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Australia, Arab Saudi, China, dan Bahrain.