Bayaran pampasan kerugian yang ditanggung oleh pasukan tuan rumah, JDT & pengelola liga, MFL merupakan antara denda yang dikenakan terhadap Selangor.

Umum mengetahui pengelola liga bola sepak Malaysia, MFL telah mengeluarkan kenyataan mereka berhubung isu penarikan diri pasukan Selangor yang dijadualkan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Sumbangsih dan juga merupakan perlawanan pertama Liga Super Malaysia (LS1), 10 Mei lalu.

Menerusi kenyataan rasmi MFL, ahli lembaga pengarah telah memutuskan untuk segala kerugian yang dialami oleh pasukan JDT & MFL itu sendiri perlu ditanggung oleh pasukan Selangor. Dalam kenyataan merujuk kepada isi maklumat (2) itu juga, MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

Antara keputusan lain dalam mesyuarat tersebut, MFL juga memutuskan untuk mengenakan denda sebanyak RM100,000, pemotongan tiga (3) mata dalam perlawanan Liga Super 2024-2025, dan perlawanan menentang JDT (LS14) akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.