Skip to main content

Bola Sepak

Padang becak sukarkan JDT cipta jaringan -- Longhi

pkns-fc.jpg
PKNS FC merantai pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), daripada membawa pulang mata penuh selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ramalan pertembungan kedua-dua pasukan itu diramal sengit nyata meleset sama sekali apabila keadaan padang becak menjejaskan rentak PKNS dan JDT.

Kedua-dua pasukan begitu berhati-hati pada 45 minit pertama dengan tidak banyak percubaan berbahaya mampu dicipta.

Peluang terbaik dimiliki JDT pada minit ke-37 menerusi tandukan lambung Jorge Santos Silva yang digenggam kemas oleh Shahril Saari.

JDT membuat pertukaran dengan memasukkan Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan Harry Novillo sebaik bermulanya babak kedua dan percaturan itu mengubah rentak serangan pelawat.

Pada minit ke-56, Nazmi Faiz menguji Shahril melalui percubaan dari arah tepi yang dapat dinafikan penjaga gol PKNS itu.

Tiga minit kemudian, Shahril terus menjadi penghalang JDT dan kali ini menafikan peluang yang dimiliki Safawi Rasid.

Disiplin ditunjukkan pertahanan PKNS terus membuatkan JDT buntu untuk mendapatkan sebarang jaringan sehingga tamat perlawanan.

"Kita boleh nampak pemain bekerja keras di atas padang yang becak. Malah, peluang menjurus kepada JDT," kata jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal.

Sementara itu, jurulatih JDT, Raul Longhi, menganggap padang becak sebagai halangan kepada anak buahnya untuk memburu kemenangan dengan berkata:  "Aksi hari ini berbeza kerana PKNS cukup berdisiplin ketika bertahan. 

"Kami mencipta banyak peluang dan kami mendominasi perlawanan, terutama pada separuh masa kedua. 

"Sukar untuk bermain bola sepak yang menarik pada hari ini memandangkan keadaan padang tidak begitu bagus," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video