Skip to main content

Bola Sepak

Nidzam tegur pemain kebangsaan dalam kem Kedah

nidzam-adzha-160917.jpg
Ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain kebangsaan yang gagal mempamerkan kredibiliti sebenar meskipun Kedah meraih kemenangan 3-2 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia ke atas Selangor di Selayang, malam tadi. 

Kelebihan dua jaringan di laman lawan masih gagal memuaskan hati Nidzam, yang ternyata kecewa dengan aksi membabitkan beberapa pemainnya yang berstatus pemain kebangsaan, antaranya Rizal Ghazali, Baddrol Bakhtiar, Akram Mahinan dan Syazwan Zainon.

Tegas Nidzam, segala-galanya tampak serba tidak menjadi selain enggan menerima alasan kepenatan kerana keseluruhan pemain yang pulang dari kem latihan Harimau Malaya diberikan cuti yang secukupnya oleh pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA). 

"Keempat-empat pemain import menampilkan aksi hebat. Cuma, pemain kebangsaan perlu beri lebih lagi," katanya. 

Begitupun, dia tetap memuji usaha sepasukan yang cemerlang mengikut perancangan mencari dua gol awal, namun membiarkan pasukan tuan rumah mengekori rapat kelebihan yang dicipta sehingga meletakkan juara bertahan itu belum cukup untuk berasa selesa.

Sementara itu, jurulatih Selangor, P. Maniam, menegaskan anak buahnya mampu pergi ke tahap yang lebih baik jika aksi pada babak kedua menjadi rujukan mereka untuk menghabiskan baki 90 minit.

Mengakui Selangor melepaskan dua gol awal yang tidak sepatutnya berlaku, strategi baru akan dirangka Maniam selain turut mengambil kira beberapa kutipan kad kuning pemain utamanya, Ugo Ukah dan Amri Yahyah. 

"Ia bukan tugas mudah. Kami tidak sepatutnya tewas 3-2. 

"Kami tidak begitu fokus di bahagian pertahanan tetapi dalam masa sama, kami perlu mengambil sikap positif kerana akan menghadapi pertemuan kedua nanti. 

"Saya perlu memberikan motivasi kepada pemain kerana bukan mudah untuk berdepan Kedah di laman mereka. 

"Saya mahu membuktikan Selangor mampu bangkit," katanya. 

Penjaring dua gol Selangor, Rufino Segovia, tidak rela melepaskan peluang untuk memastikan kejayaan buat Selangor dalam aksi timbal balik nanti. 

"Saya berasa geram kerana berasakan kami sebuah pasukan yang lebih baik. 

"Mereka mempunyai dua peluang pada separuh masa pertama dan memanfaatkannya," ujar penggempur dari Madrid, Sepanyol itu. 

Advertisement

Must Watch Video