Skip to main content

Bola Sepak

Neymar: Berita perpindahan ke Barcelona, Real Madrid tidak berasas

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

neymar.jpg
Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, menegaskan spekulasi perpindahan yang mengaitkannya dengan Real Madrid dan Barcelona adalah tidak berasas. 

Neymar menjadi isu rumit sejak meninggalkan Barca untuk ke PSG pada 2017, dengan kelab Perancis itu memecah rekod perpindahan dunia ketika membawanya ke Ligue 1 dengan nilai €222 juta (RM1 bilion).

Madrid dikatakan amat berminat dengan khidmat Neymar musim lalu tetapi berita itu mulai pudar sebelum Piala Dunia 2018 untuk PSG mengekalkan aset berharga mereka.

Laporan media kemudian mendakwa Barca sedang mencari jalan untuk membawanya kembali ke Camp Nou pada awal tahun ini -- Barca menyangkal dakwaan bahawa mereka telah menghubungi ayah Neymar dalam cubaan untuk memuktamadkan perpindahan itu pada Selasa lalu. 

Spekulasi ke Madrid juga muncul semula kebelakangan ini, namun Neymar menafikan berita tersebut. 

"Saya sering dikaitkan dengan perpindahan," katanya kepada Canal Plus. "Sejak menjadi pemain bola sepak profesional, selalu timbul khabar angin yang mengatakan saya akan meninggalkan kelab.

"Begitupun, semuanya tidak berasas. Sebaik sahaja terdapat sesuatu yang muktamad, saya akan memberitahu semua orang."

Neymar menyumbang dua gol ketika membelasah Guingamp 9-0 semalam dan dia menghamburkan pujian terhadap impak yang dicetuskan pengurus, Thomas Tuchel.

"Kami bersahabat baik tetapi pada masa yang sama, wujud rasa hormat yang tinggi," kata bintang Brazil itu.

"Saya menghormatinya sebagai jurulatih tetapi apabila kami perlu berbincang, kami akan melakukannya. 

"Saya amat menghormatinya sejak kali pertama kami bertemu. Apabila anda mempunyai perasaan hormat yang tinggi kepada pengurus, anda akan mencurahkan segalanya di padang. Saya akan melakukan yang terbaik untuk menang deminya."

Advertisement

Must Watch Video