Skip to main content

Bola Sepak

Negeri Sembilan FC optimis jamin posisi pertengahan Liga Super

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

negeri-sembilan-fc.jpg
Pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan, mengakui terpaksa mengubah percaturan biarpun masih belum mampu mengekang kemenangan bergaya 4-0 Selangor di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. 

Penyerang import baru kelahiran Maghribi, Youssef Ezzejjari, tidak diletakkan dalam kesebelasan utama selain kelibat Firdaus Irman Fadhil yang menggantikan tempat Sikh Izhan Nazrel Sheikh Azman di depan gawang. 

Namun, itu tidak menghalangnya daripada bersikap optimis bagi kedudukan akhir mereka di penghujung saingan Liga Super musim ini. 

"Kami masih mampu menduduki tangga keenam hingga kesembilan. Saya anggap ia pencapaian yang bagus memandangkan bilangan pemain import yang kami ada. Pemain import ini boleh menambah kualiti kepada pasukan. 

"Tapi Youssef belum dapat menyesuaikan diri dengan pasukan berdasarkan perlawanan terdahulu. 

"Jadi saya tidak letakkannya untuk berdepan Selangor untuk mengelaknya kelihatan seperti tidak berfungsi. 

"Kedudukannya sebagai penyerang berdasarkan kualiti yang dia ada mungkin tidak berapa sesuai dengan corak permainan kami. 





"Mungkin dia akan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri," katanya selepas perlawanan.

Malah, Devan turut mengambil langkah berani dengan memberi kepercayaan kepada Firdaus yang dianggapnya memiliki potensi sebagai tunjang utama pada masa akan datang.  




"Kami hanya ada tujuh perlawanan lagi dalam liga. Dia juga adalah penjaga gol B-23 jadi kami ingin persiapkannya untuk musim akan datang," katanya lagi. 

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, memuji momentum kemenangan ketiga berturut-turut itu, sekali gus mengukuhkan posisi di kedudukan Liga Super. 

"Satu permainan yang cukup baik yang ditunjukkan setiap pemain dalam perlawanan ini. 

"Yang penting ialah tiga mata," katanya. 



 

Advertisement

Must Watch Video