Menjelang perlawanan minggu keempat Liga Super Malaysia, tumpuan terarah kepada derbi utara, iaitu pertemuan di antara Penang melayani kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Bandaraya, Georgetown, esok malam.

Kedua-dua pasukan semestinya mahu menjelmakan tiga mata pertama saingan liga selepas tiga perlawanan berlangsung dan mahu mencipta kemenangan demi terus mengumpul mata mendaki carta Liga utama negara.

Meskipun mengutip kemenangan pertama bertemu PDRM namun, penolakan tiga mata akibat denda yang dikenakan membuat KDA mengalami pergelutan termasuk isu luar padang yang sedang membelenggu pasukan kendalian Nafuzi Zain itu.

Berbeza di kem latihan Penang, anak-anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli sedang berada di tahap terbaik selepas mengekalkan motivasi jitu menang berdepan Sri Pahang dalam pusingan ke-16 Piala FA, minggu lalu.

Penang belum mencatatkan sebarang kekalahan dan memburu kejayaan pertama di depan peminat tempatan sekali gus, ingin mempamerkan kecemerlangan berterusan ketika bertemu pasukan lawan.

Ini merupakan peluang terbaik buat Penang untuk menamatkan kemarau sejak 2017 tidak memperoleh kemenangan di tempat sendiri sambil keseluruhan pemain sudah kembali memperkuat pasukan selain hanya memantau masalah kecergasan.