LIGA INGGERIS
Mustahil untuk turunkan Bakayoko -- Conte
Antonio Conte mencabar Tiemoue Bakayoko untuk memperbaiki tekniknya andai dia mahu menjadi pemain "sempurna" seperti rakan sepasukan, N'Golo Kante.
Bakayoko telah dua kali membarisi kesebelasan utama dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas berhijrah daripada AS Monaco dengan pembelian GBP40 juta (RM227 juta), Julai lalu.
Dia turut meledak gol pertama ketika dibawa masuk dalam kemenangan 6-0 ke atas Qarabag dalam aksi Liga Juara-Juara, Selasa lalu.
Iklan
Pengendali Chelsea itu mendapati masih ada aspek yang perlu diperbaiki pemain itu dan berharap kemajuan dipamerkan Kante akan menjadi inspirasi.
Conte berasakan Kante telah meningkatkan kemampuannya dalam mengawal bola sejak tiba di Stamford Bridge awal musim lalu, lantas optimis Bakayoko akan melakukan perkara yang sama.
"Baka seorang pemain yang bagus, jangan lupa dia baru berusia 22 tahun," Conte bercakap kepada media menjelang aksi sengit berdepan Arsenal di laman sendiri hari ini.
"Masih ada banyak ruang untuk diperbaiki, terutama daripada aspek teknikal dan fizikal. Dia memerlukan lebih masa berbanding pemain lain untuk memahami corak permainan pasukan ini.
"Sebagai pemain tengah, kamu perlu masa untuk memahami tugas kami. Jika kamu mahu mengetengahkan identiti kamu di atas padang, penting untuk pemain lain mengenal pasti apakah idea kamu.
"Saya amat teruja kerana dia sedang mempamerkan kemajuan. Dalam tempoh 10 hari ini, dia telah mempamerkan kemajuan yang banyak, terutama dalam aspek taktikal.
"Dia seorang pemain yang kuat. Penting untuk kami memiliki pemain sepertinya di bahagian tengah. Terutama di England kerana segala-galanya melibatkan permainan fizikal.
"Tetapi buat masa ini, mustahil untuk saya menurunkannya dalam kesebelasan utama tetapi dia dalam perjalanan untuk menyesuaikan diri. Masih banyak yang perlu dipertingkatkan."
Mengenai perkembangan Kante, Conte menambah: "Dia kini seorang pemain yang sempurna. Kawalan bolanya jauh lebih baik jika dibandingkan ketika di awal penyertaan. Kami mahu melakukan perkara yang sama terhadap Bakayoko."
Must-Watch Video