Skip to main content

Bola Sepak

Morata tawar Atletico perkembangan positif menjelang aksi Liverpool

morata.jpg
Alvaro Morata disahkan cergas untuk pertemuan LaLiga di antara Atletico Madrid dan Valencia, awal pagi esok.

Kecederaan otot di kaki kanan memaksa penyerang itu dikeluarkan pada awal babak kedua dalam kekalahan 0-1 kepada bekas kelabnya, Real Madrid, 1 Februari lalu.

Berikutan Diego Costa dan Joao Felix yang turut tersisih, pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone terpaksa memulakan Angel Correa dan Vitolo di jentera serangan dalam kemenangan 1-0 ke atas Granada, hujung minggu lalu. 

Walaupun mengesahkan Morata akan menjadi sebahagian daripada pasukannya untuk kunjungan ke Valencia di Mestalla, Simeone bagaimanapun tidak menawarkan jawapan lanjutan.

"Ya, dia boleh diturunkan dalam perlawanan (menentang Valencia) esok," katanya.

Senario itu mencetuskan persoalan sama ada pemain berusia 27 tahun itu akan memainkan peranan utama dalam pertemuan pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan Liverpool, Rabu depan.

"Saya tidak fikir mengenai Liverpool. Kesemua tenaga dan pemikiran kami tertumpu kepada Valencia dan selepas itu barulah kami akan melihat perlawanan seterusnya," katanya. 
 
Atletico menduduki tempat keempat LaLiga, dua mata di depan Valencia, sehubungan itu Simeone mahu mengambil pendekatan berhati-hati terhadap ancaman yang boleh dijelmakan oleh pasukan bimbingan Albert Celades itu.

"Ini adalah perlawanan yang sangat penting.

"Valencia sangat ampuh di laman sendiri sambil menerima sokongan padu daripada penyokong mereka.

"Mereka akan mempunyai pemain utama dan kami harus memikirkan tentang cara yang kami boleh hukum mereka dalam perlawanan yang sukar.

"Kami perlu menang kerana ia akan menghasilkan momentum dan memberikan perasaan positif.

"Tambahan pula, ia akan membantu kami untuk terus bertambah baik," kata Simeone. 

Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found