LIGA INGGERIS
Morata mahu menjadi pemain terbaik dunia -- Conte
Alvaro Morata mungkin telah memulakan karier dengan menakjubkan di England tetapi masih banyak yang belum ditonjolkan pemain itu, menurut pengendali Chelsea, Antonio Conte.
Conte percaya pemain antarabangsa Sepanyol itu bukan sahaja memiliki bakat tetapi juga mentaliti untuk menjadi antara penyerang terbaik dunia.
Tiba daripada Real Madrid, Julai lalu, dengan bayaran GBP70 juta (RM400 juta), Morata telah melaksanakan tugas dengan baik menggantikan Diego Costa sebagai tunjang utama jentera serangan.
Iklan
Tandukannya berdepan Leicester City, Sabtu lalu, merupakan gol ketiga dalam empat penampilan Liga Perdana Inggeris setakat ini, namun Conte percaya pemain berusia 24 tahun itu masih menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.
"Morata seorang penyerang yang bagus. Tetapi jangan lupa dia masih muda, masih banyak yang mampu diperbaiki," Conte memberitahu media.
"Meskipun masih muda, dia telah bermain bersama Real Madrid dan Juventus dan memenangi pelbagai kejuaraan. Kami gembira memiliki pemain berpengalaman sepertinya.
"Kami berkerja keras bersamanya agar dia dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan ini.
"Bagi saya, tugas sebagai penyerang amat penting tetapi dia seorang pemain yang baik dan mahu menjadi antara yang terbaik di dunia."
Morata akan dapat meneruskan deretan golnya apabila Chelsea menerima kunjungan Arsenal, malam esok.
Must-Watch Video