Skip to main content

Bola Sepak

Monaco gagal elak pencapaian terburuk di laman sendiri

monaco.jpg
MONACO 1 NICE 1 

Monaco gagal memenangi 10 perlawanan pertama di tempat sendiri dalam saingan Ligue 1 buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.


Pasukan bimbingan Thierry Henry itu diikat Nice 1-1 di laman sendiri biarpun pihak lawan yang dikemudi Patrick Vieira kehilangan Ihsan Sacko akibat dibuang padang di penghujung separuh masa pertama.

Benoit Badiashile Mukinayi meledak gol penyamaan pada minit ke-50 untuk membatalkan gol pembukaan yang dicetak Allan Saint-Maximin dalam aksi di Stade Louis II, awal pagi tadi. 

Namun, Monaco tidak dapat mencari jalan keluar untuk muncul sebagai pemenang bagi meningkatkan harapan mereka daripada tersingkir daripada pentas Ligue 1, bahkan menarik nafas lega apabila pelawat yang beraksi dengan 10 pemain, gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Dengan perlawanan berbaki 13 minit, sepakan penalti Saint-Maximin dinafikan penjaga gol Monaco, Diego Benaglio, selepas sistem bantuan pengadil (VAR) mengesan Youcef Atal telah dikasari.

Keputusan seri itu menyaksikan Monaco kekal di tangga ke-19.

Sementara itu, Timbalan Presiden Monaco, Vadim Vasilyev, mengesahkan kelab itu sedang memancing Michy Batshuayi.

Masa depan penyerang itu dalam keraguan berikutan Valencia memberi isyarat bahawa mereka cuba memendekkan tempoh pinjaman pemain itu dari Chelsea. 

Batshuayi menyerlah ketika dipinjamkan ke Borussia Dortmund dalam separuh musim lalu apabila menyumbat tujuh gol dalam 10 penampilan Bundesliga, namun bergelut untuk menemui rentak terbaiknya dalam LaLiga musim ini selepas hanya meledak satu gol dalam 15 perlawanan.
 

Advertisement

Must Watch Video