Penolong jurulatih Sabah, Alto Linus mahu memastikan The Rhinos mampu meneruskan momentum cemerlang tanpa kelibat Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia bertemu PT Athletic di Stadium KLFA Cheras, Sabtu ini.
Ini apabila pengendali berusia 38 tahun itu diberi kepercayaan mengetuai barisan kejurulatihan sementara Sang Badak selepas Kim Swee meninggalkan pasukan baru-baru ini.
Selain Alto, jurulatih kecergasan Martin Stano juga diamanahkan membimbing pasukan terutamanya untuk pertemuan menentang PT Athletic.
"Satu cabaran yang besar bagi saya untuk menjadi jurulatih sementara menggantikan Datuk Ong Kim Swee tetapi bagi saya apa sahaja yang saya lakukan di sini adalah Coach Ong juga sebab Coach Ong ni bagi saya adalah 'master' bagi saya mahupun sifu saya dan segala pengalaman dia sangat bermakna.
"Walaupun kita tidak dapat kesemuanya tetapi dia telah bagi dan turunkan kepada saya.
"Selamat maju jaya buat coach. Terima kasih atas segala tunjuk ajar yang ditinggalkan di sini.
"Satu keputusan yang besar kepada saya sebagai jurulatih yang dia bentuk tetapi kepada semua peminat bola sepak dan para pemain yang masih bersama Sabah kini.
Alto yang juga bekas pemain Sabah dan T-Team bersara daripada bola sepak profesional pada 2022 sebelum berguru dengan Kim Swee dalam bidang kejurulatihan untuk tahun berikutnya.
Akui menimba banyak ilmu daripada Kim Swee yang dianggap sebagai sifu, Alto bagaimanapun akui berdepan tugasan mencabar bertemu PT Athletic walaupun menang 4-0 pada pertemuan pertama.
"Untuk perlawanan ini kita tidak boleh ambil mudah bertemu engan PT Athletic.
"Kita tahu mereka merupakan sebuah pasukan yang mempunyai para pemain berpengalaman yang boleh mengubah situasi alam perlawanan bila-bila masa.
"Kita tidak boleh ambil mudah dan datang bermain secara selesa dan kita kena habiskan perlawanan ini dengan momentum yang kita ada.
Zaki Zainal
Tue Nov 26 2024