Skip to main content

Bola Sepak

MLS melonjak bagaikan roket selepas Messi sertai Inter Miami

messi-inter-miami.jpg
Pesuruhjaya liga, Don Garber, berkata Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) kini sedang melonjak bagaikan roket dan percaya ketibaan Lionel Messi di Inter Miami akan membawa kejohanan itu ke aras lebih tinggi.

Sejak perpindahan Pele ke New York Kosmos pada 1975, MLS, yang mula diperkenalkan pada 1996, menjadi tumpuan ramai berikutan penyertaan David Beckham di LA Galaxy pada 2007 dan liga itu kini sekali lagi menjadi perbualan, terutama di Amerika Utara.

Bintang global, Lionel Messi, mencetuskan sensasi apabila memilih untuk berpindah ke Miami, hanya tujuh bulan selepas menjulang Piala Dunia bersama Argentina di Qatar.

Pemain berusia 36 tahun itu menjaringkan gol kemenangan melalui sepakan percuma minit-minit terakhir ketika pasukan barunya itu menewaskan Cruz Azul 2-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Liga pada Sabtu lalu.
 
Garber jelas teruja dengan perkembangan pesat liga berkenaan.

"MLS ketika ini sedang melonjak bagaikan roket," katanya, yang memegang jawatan pesuruhjaya liga itu sejak 1999.

"Setiap hari yang anda fikir akan ada tempoh senggang dan anda boleh bertenang, sesuatu yang lain berlaku dan ia memberikan anda lebih banyak momentum, lebih tenaga dan lebih keyakinan tentang ke mana hala tujunya.

"Saya fikir masanya akan tiba, di mana perkara-perkara yang hebat ini tiba seperti yang dijangka, momen istimewa yang dijangka dan ia tidak akan seperti 'adakah ini waktu paling istimewa dalam sejarah liga ini?'," katanya.



 

Advertisement

Must Watch Video