Skip to main content

Bola Sepak

Minggu meriah bola sepak Perak - Abu Bakar

pknp-fc_4.jpg
Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mahu penyokong dan peminat bola sepak Perak turun ke stadium memberi suntikan semangat kepada dua wakil negeri, PKNP dan The Bos Gaurus, membuat percaturan di dalam liga dan Piala Malaysia.

Esok, PKNP akan bertemu Negeri Sembilan dalam perlawanan penting menentukan kedudukan dua terbaik dalam Liga Perdana dan pada Sabtu pula, Perak akan bertemu Pahang dalam pusingan kedua suku akhir Piala Malaysia.

Keesokannya pada 24 September, PKNP akan turun sekali lagi bertemu Felda United.

"Dramatik dan mendebarkan. Minggu ini ada tiga perlawanan penting. Peminat pasti tidak mahu terlepas menonton perlawanan ini.

"PKNP dan Perak kena ambil peluang faktor tuan rumah. Bagi PKNP, satu kelegaan apabila dapat menghirup udara segar di Ipoh setelah kali terakhir beraksi di sini Jun lalu," kata Abu Bakar.

Beliau menegaskan bahawa perlawanan menentang Negeri Sembilan esok amat kritikal kerana keputusannya akan menentukan kedudukan lebih selesa dalam liga.

"Jurang mata empat pasukan teratas Liga Perdana rapat. Kena positif jika mahu bertahan. Kami tidak boleh berharap kepada keputusan perlawanan pasukan lain untuk menentukan kedudukan." 

Tambah Abu Bakar lagi, Negeri Sembilan pasti datang dengan fokus lebih baik dalam perlawanan penting ini.

Menyentuh persediaan pasukan, pengendali PKNP itu berkata: "Persiapan PKNP bukan baru, bukan sehari, bukan setahun.  Pasukan dipersiapkan pada peringkat Piala FAM lagi. Karakter dan tindak balas pemain yang membawa PKNP ke tahap ini.

"Saya harap 'jelmaan' ini masih ada dalam diri setiap pemain, terutama ketika waktu 'puncak' dalam mengatasi keletihan, kelesuan dan tekanan perlawanan," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video