PIALA MALAYSIA
MFL Challenge Cup: Kinoshi seru pemain balas pengorbanan penyokong Selangor
Ketua jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi, mempertimbangkan dua pemain yang berada dalam prestasi terbaiknya ketika ini iaitu Quentin Cheng dan Alif Haiqal Lokman Hakim Lau menjelang pertemuan kedua separuh akhir MFL Challenge Cup.
Namun, kelibat Alif Haiqal tidak kelihatan pada sesi latihan petang tadi.
Pertahanan itu difahamkan sedang menjalani sesi pemulihan rentetan kecederaan kecil yang dialaminya ketika bertemu Penang di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu.
Iklan
Bagaimanapun, ia tidak menjadi halangan buat Kinoshi untuk meletakkan Alif Haikal sebagai sebahagian daripada rencananya pada Ahad ini.
Malah, kelebihan pemain itu yang tampak menyerlah akhir akhir ini menjadikan dia sebagai pemain penting yang perlu membantu pasukan yang mencari peluang mengisi slot final.
"Sumbangannya memang besar tapi kami tidak boleh mudah berpuas hati.
"Masih ada ruang untuk penambaikan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Faktor cuaca juga menjadi kebimbangan pengendali dari Tokyo itu, namun melihat kepada semangat penyokong yang tidak pernah luntur turun ke stadium membuatkannya berasa bertanggungjawab untuk anak buahnya menjelmakan persembahan memukau.
"Sudah tentu sebelum perlawanan saya akan menuntut kemenangan tapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku kelak.
"Kami perlu membuatkan penyokong gembira memandangkan hujan lebat turun dalam aksi terdahulu.
"Saya tidak pernah mengharungi perlawanan dalam hujan sebegitu, namun penyokong terus bersorak jadi pemain perlu bertindak balas demi mereka yang datang berikan sokongan," katanya lagi.
Must-Watch Video