Skip to main content

Bola Sepak

Messi, Maradona sertai kempen desak pencarian Sala diteruskan

sala.jpg
Lionel Messi dan Diego Maradona adalah antara individu yang menggesa pencarian terhadap Emiliano Sala dilanjutkan setelah keluarga penyerang Cardiff City itu menugaskan sebuah syarikat swasta untuk terus mencari pemain itu. 

Polis Guernsey memutuskan untuk memberhentikan pencarian Sala dan juruterbang, David Ibbotson, semalam selepas tiga hari melakukan pencarian terhadap pesawat yang dinaiki mereka yang hilang di Selat Inggeris pada Isnin lalu selepas operasi berkenaan meliputi kawasan 1,700 batu persegi.

Kakak Sala, Romina, dan bapanya, Horacio, terkejut dan kecewa terhadap keputusan tersebut di sebalik kenyataan yang dikeluarkan oleh Syahbandar, David Barker, yang diterbitkan melalui Polis Guernsey memberikan penjelasan terperinci.

"Kami telah mengkaji kesemua maklumat yang ada selain berdasarkan peralatan kecemasan yang ada di dalam pesawat itu dan dengan berat hati memutuskan untuk menamatkan pencarian," katanya. "Peluang untuk hidup pada tahap ini sangat tipis."

Tanda pagar #NoDejenDeBuscar (#DontStopSearching) telah digunakan oleh ramai tokoh bola sepak untuk mendesak pihak berkuasa supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk menghentikan pencarian Sala manakala keluarganya merancang untuk melancarkan operasi menyelamat sendiri. 

"Sebaik mendapat kebenaran pihak polis British petang ini, pencarian Emiliano dengan menggunakan khidmat sebuah syarikat penyelamat swasta akan diteruskan," kata sahabat kepada keluarga itu, Martin Molteni, kepada La Nacion semalam. 

"Kami masih tidak tahu bagaimana penyiasatan ini akan diteruskan."


 

Advertisement

Must Watch Video