Malaysia merekodkan kemenangan kedua dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ke atas Chinese Taipei 1-0 sebentar tadi.

Selepas membuka kempen dengan kemenangan dramatik 4-3 ke atas Kyrgyzstan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis lalu, sudah pasti Harimau Malaya diharapkan dapat mengekalkan momentum kemenangan berdepan pasukan di ranking ke-152 dunia itu.

Dalam ketiadaan pertahanan tengah Sabah FC, Dominic Tan, yang disahkan tidak beraksi ekoran masalah kecederaan, dan pemain Dewa United, Junior Eldstal, bakal bergandingan bersama Dion Cools di bahagian pertahanan.

Pengendali pasukan, Kim Pan-gon, turut memberikan kepercayaan kepada pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Afiq Fazail untuk bertindak sebagai nadi pasukan di bahagian tengah, mengisi kekosongan ditinggalkan Brendan Gan.

Penyerang KL City FC, Paulo Josue, turun sebagai penyerang utama menggantikan tempat Darren Lok.

Peratusan penguasaan permainan ternyata memihak Malaysia sejak permulaan permainan, dengan deretan percubaan yang dilancarkan gagal disempurnakan.

Gerakan terbaik Malaysia terhasil menerusi rembatan Stuart Wilkin yang berjaya ditepis keluar penjaga gol, Pan Wen-Chieh.

Sementara gandingan Arif Aiman Md Hanapi-Faisal Halim sekali lagi menghantui benteng pertahanan lawan, namun bola tetap gagal melepasi gawang tuan rumah sebelum separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.


Corak permainan Chinese Taipei seakan berubah, meningkatkan tempo permainan pada permulaan separuh masa kedua dan hampir mengejutkan Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia memperkemaskan semula corak permainan sebelum kembali menguasai permainan.

Pan-gon mengubah percaturan dengan membawa masuk Endrick dos Santos dan Darren Lok bagi menggantikan Afiq Fazail dan Paulo Josue.

Dan ternyata ia cukup membuahkan hasil apabila jaringan yang dinanti-nantikan terhasil apabila percubaan Endrick gagal ditampan kemas Wen-Chieh dan Darren menyambar memastikan bola menembusi gawang.


Malaysia terus mengasak menambah jaringan tambahan sementara Chinese Taipei turut menguji peluang mendapatkan jaringan penyamaan namun perlawanan memihak Malaysia sekaligus merakamkan kemenangan kedua dalam aksi kelayakan.

Saksikan gol Darren Lok untuk menjamin 3 mata berharga Harimau Malaya