Presiden FAM, Dato' Hamidin Mohd Amin memberi bayangan bahawa akan berlaku rombakan di bahagian pertahanan Harimau Malaya menjelang aksi Chinese Taipei menentang Malaysia, malam ini. Perkara ini disuarakan beliau sendiri menerusi sesi temubual khas dalam rancangan Nindia Bola malam tadi.

Rombakan tersebut mengenai ketiadaan pertahanan tengah negara, Dominic Tan yang terpaksa disisihkan daripada pasukan akibat mengalami kekejangan di bahagian betis. Ini pastinya akan memberi peluang buat pemain pertahanan lain untuk diturunkan dan beraksi pada perlawanan tersebut.

Jelasnya, pemain-pemain lain tampak yakin dan bersiap sedia untuk diturunkan sekiranya dipanggil dalam kesebelasan utama oleh Kim Pan-gon. Menurut beliau lagi, pasukan Harimau Malaya kini bersiap siaga untuk menentang Chinese Taipei dalam formasi menyerang berikutan 3 mata penuh menjadi buruan dalam perlawanan yang cukup penting malam ini.