Skip to main content

Bola Sepak

Masa depan Kompany bergantung kepada kecergasannya -- Guardiola

vincentkompanypepguardiola.jpg
Pep Guardiola mendedahkan Manchester City sedang dalam perbincangan untuk menawarkan kontrak lanjutan kepada kapten pasukan, Vincent Kompany. 

Kompany menyertai City daripada Hamburg pada 2008 dan memainkan peranan penting ketika mereka menjulang tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain kebangsaan Belgium itu turut beraksi dalam dua perlawanan liga berturut-turut buat kali pertama sejak Ogos lalu ketika mengatasi Liverpool 2-1, Jumaat lalu.

Kompany dilihat bertuah apabila terlepas daripada hukuman berat apabila melakukan terjahan dua kaki ke atas Mohamed Salah dalam separuh masa pertama tetapi meneruskan permainan, sekali gus mempamerkan aksi ampuh buat City.

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu dikeluarkan pada penghujung permainan sebagai peringatan terhadap kecederaan betis yang menghantui Kompany sejak beberapa musim lalu.

Dan Guardiola menegaskan tahap kecergasan Kompany adalah sesuatu yang menjadi keutamaan sebelum kelab mengambil keputusan untuk melanjutkan kontraknya.

"Kami sedang berbincang mengenai perkara itu dan akan membuat keputusan mengenai masa depan Kompany," kata Guardiola.

"Kompany adalah kapten pasukan, 11 tahun berkhidmat bersama City. Kami dapat menyaksikan dalam dua perlawanan terakhir, dia mempamerkan kualiti serta keinginan untuk beraksi. Kompany bagaimanapun ada satu masalah, iaitu kecederaannya.

"Satu lawan satu, kami beraksi dengan lebih baik apabila Kompany diturunkan. Aymeric Laporte memiliki kelebihan pada kaki kirinya. Setiap pertahanan tengah mempunyai kualiti tersendiri dan Kompany memiliki keistimewaan dengan corak permainan yang sangat bagus.

"Dia merupakan salah seorang pertahanan tengah yang terbaik pernah saya saksikan. Namun, tahap kecergasan sering menjadi masalah buat Kompany," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video