IPSWICH 0 MAN CITY 6

Pep Guardiola menegaskan bahawa Manchester City semakin menghampiri prestasi terbaik mereka selepas membelasah Ipswich Town 6-0 di Portman Road awal pagi tadi.


Phil Foden membintangi kemenangan City itu menerusi gol berganda dan satu bantuan jaringan dalam separuh masa pertama, disusuli ledakan Mateo Kovacic, Jeremy Doku, Erling Haaland dan pemain gantian James, McAtee.

Keputusan itu menyaksikan The Citizens melonjak dari tangga kelapan kepada tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah memulakan 2025 dengan tiga kemenangan dalam empat perlawanan.

City memenangi 21 daripada 22 perlawanan ke atas kelab baru dinaikkan pangkat sejak tewas 1-2 kepada Leeds di Stadium Etihad pada April 2021.

City telah mengungguli 12 aksi terakhir ke atas pendatang baru berbekalkan agregat 36-7, namun pengurus kelahiran Sepanyol itu percaya kemenangan mereka kali ini lebih sukar daripada yang dilihat.

“Kami sangat gembira, kami kembali melakukan perkara yang menentukan standard pasukan ini sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada Sky Sports.



"Sangat gembira dengan tiga mata yang dikutip termasuk peluang untuk ke Liga Juara-Juara musim depan. Ia akan menjadi sangat sukar.

"Kami beraksi lebih baik. Mungkin bukan yang terbaik daripada kami, namun lebih dekat dengan ketekalan permainan sebenar kami. Kebanyakannya tidak berlaku dalam perlawanan yang kami menangi sebelumnya.

"Bagaimanapun, cara kami ketika kehilangan bola tidak memungkinkan kami untuk bermain dalam ruang kecil. Setiap orang yang memegang bola adalah bijak, lebih pantas dan saling mempunyai kaitan.

"Anda tidak boleh terlalu cepat, bijak dan bagus seandainya anda tidak boleh mengabaikan corak bertahan.

"Ipswich menewaskan Chelsea di sini, mereka menewaskan Spurs di tempat lawan. Mereka adalah pasukan yang bagus dan Liam Delap adalah serang penyerang yang hebat.

"Pemain-pemain sedar kelebihan yang dimiliki dan itu adalah perkara terbaik."