Skip to main content

Bola Sepak

Mahu terus perkembang mutu skuad B22 negara faktor Maloney lanjut kontrak

maloney.jpg
Cinta kepada skuad kebangsaan dan tidak pernah jemu membangunkan bola sepak Malaysia jadi faktor Brad Maloney bersetuju untuk kekal menabur bakti di negara ini.

Itu perkongsian Maloney kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, setelah kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilanjutkan dua tahun hingga Disember 2023.

"Saya mengharungi suasana yang sangat baik melatih barisan pemain muda Malaysia dan tahun depan amat penting kerana saingan di Uzbekistan, jadi kami mahu berusaha menghasilkan sesuatu di sana nanti," kata Maloney.

FAM menerusi Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar semalam mengesahkan khidmat Maloney dikekalkan selepas jurulatih dari Australia itu berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan badan induk itu.

Ia menyaksikan skuad muda negara berjaya mara ke Piala Asia B23 2022 di Uzbekistan selepas muncul juara kumpulan dalam kempen kelayakan di Mongolia, Oktober lalu.

Mengulas mengenai perancangan untuk mengharungi kalendar padat 2022 termasuk menangani isu pelepasan pemain, Maloney mengesahkan perbincangan rapi akan dijalankan dengan FAM sejurus beliau kembali ke Malaysia awal Januari depan.

"Saya telah membincangkan beberapa perancangan bagi tahun depan, saya percaya ia memberikan manfaat kepada pasukan dan berharap semua berjalan dengan lancar," katanya lagi. 

Sementara itu, penyerang skuad B22 negara, Nur Azfar Fikri Azhar percaya pasukannya berpeluang untuk meraih pencapaian yang lebih baik dengan keputusan FAM mengekalkan khidmat Maloney selaku pengendali skuad muda negara.

Azfar yang juga pemain Terengganu FC II menegaskan momentum pasukannya mampu diteruskan atas faktor keserasian antara rata-rata pemain dan jurulatih dari Australia itu.

Dalam kempen kelayakan Piala Asia B23 di Mongolia Oktober lalu, Azfar tampil cemerlang apabila meledak dua gol daripada tiga perlawanan untuk membantu kemaraan skuad negara ke pusingan akhir di Uzbekistan, tahun depan.
 

Advertisement

Must Watch Video