Skip to main content

Bola Sepak

Madrid perlu abai pendahuluan Barca

casemiro.jpg
Pemain tengah Real Madrid, Casemiro, menggesa rakan sepasukannya agar kekal tenang sambil menyifatkan dirinya tidak menghiraukan jarak tujuh mata di antara pasukannya dan pasukan tangga teratas liga, Barcelona.

Skuad kendalian Zinedine Zidane dikejutkan dengan kekalahan 0-1 di laman sendiri awal pagi tadi selepas tandukan di penghujung perlawanan oleh Antonio Sanabria membolehkan Real Betis pulang dengan tiga mata.

Keputusan itu menyaksikan skuad Los Blancos ketinggalan tujuh mata di belakang seteru utama, Barcelona, yang telah memenangi kesemua lima perlawanannya.

Bagaimanapun, Casemiro yang merupakan nadi utama Madrid ketika menjuarai LaLiga musim lalu mahu rakan sepasukannya bertenang.

“Kami harus kekal tenang kerana satu mata pastinya lebih baik berbanding tewas.

“Kami tidak bernasib baik. Segala usaha yang kami cipta membuatkan kami terus bertarung. Ia lumrah bola sepak. Kadang-kala ia tidak adil. Tahniah buat Real Betis yang berjuang dan memperagakan aksi terbaik di sini (Santiago Bernabeu)," katanya.

Ketika ditanya mengenai jurang mata yang dipegang Barca di takhta liga, Casemiro jelas tidak mahu memikirkannya.

“Segala-galanya terserah kepada kami,” tambahnya.

Madrid berpeluang untuk bangkit apabila bertemu Deportivo Alaves di tempat lawan Sabtu ini. 

Advertisement

Must Watch Video