Pengurus Paris St Germain (PSG), Luis Enrique, seronok melihat barisannya merampas persada Ligue 1 selepas jaringan Lee Kang-in, Warren Zaire-Emery dan Vitinha memastikan kemenangan 3-0 ke atas Montpellier, awal pagi tadi.
PSG mendominasi pertemuan di Parc des Princes itu untuk mencatat kemenangan kelima berturut-turut.
Mutu persembahan mereka bertambah mantap untuk kemenangan meyakinkan bagi menyusuli kejayaan 3-2 ke atas Brest hujung minggu lalu.
Mereka akan bertahan di puncak Ligue 1 setidak-tidak hingga esok berikutan Nice mendapat peluang untuk kembali ke puncak apabila mereka menjadi tuan rumah kepada Rennes.
Bagaimanapun, Enrique menjelaskan peningkatan yang diperagakan PSG memberi petanda positif bahawa mereka sedang meniti di landasan tepat.
"Saya harus katakan bahawa saya sangat menggemari corak permainan Montpellier. Ia sangat mencabar. Permulaan perlawanan ini adalah sukar," katanya di laman sesawang kelab.
⏱️ 9' - Lee Kang-In opens up the score! Beautiful goal ?#Ligue1 I #PSGMHSC 1️⃣-0️⃣ pic.twitter.com/bbLtyZAlIz
— Paris Saint-Germain (@PSG_English) November 3, 2023
"Kami menjaringkan gol dari peluang pertama kami dan ia memberikan kami ketenangan tetapi saya sangat gembira dengan prestasi separuh masa kedua dan kami menguasai dan memenangi perlawanan.
"Kami menjaringkan tiga gol tanpa dibolosi. Ini hari yang sempurna.
"Sungguh mengagumkan mempunyai barisan pemain berprofil seperti ini: muda, berbakat dan mempunyai banyak kualiti.
"Sebagai jurulatih, ia adalah luar biasa bagi saya. Saya melihatnya saban minggu dalam latihan, saya telah melihatnya setiap hari dan sudah tentu, matlamatnya adalah untuk meningkatkan persembahan pemain dan memastikan pasukan terus menyasarkan sebanyak mungkin gelaran dalam pertandingan disertai.