LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Selangor lebih bersedia hadapi Sri Pahang -- Kinoshi
"Kami kini lebih bagus berbanding sembilan perlawanan lalu," demikian tegas ketua jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi, merujuk kepada pertemuan pertama dengan Sri Pahang yang tidak berakhir dengan sempurna 1 Disember lalu.
Ironinya, pertembungan kali kedua pada Sabtu ini -- di Stadium MBPJ pula -- membawa 1001 satu makna untuk Kinoshi memastikan pasukannya tampil lebih berkesan selepas kekalahan kali pertama dalam aksi pertamanya dalam Liga Super tempoh hari.
"Ini merupakan kali kedua kami akan berdepan Sri Pahang musim ini, jadi kami harus berjuang, tunjukkan mutu berbeza.
Iklan
"Dalam aksi terdahulu, Sri Pahang lebih handal daripada kami tapi kali ini kita akan tengok macam mana.
"Dalam pertemuan lalu, saya baru tiba di sini seminggu dan kini sudah dua bulan berlalu.
"Sudah tentu kami (jurulatih dan pemain) kini lebih saling memahami antara satu sama lain," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dalam masa yang sama, Kinoshi nampaknya lebih bersedia menjelang pertemuan dengan Sri Pahang hujung minggu ini.
Manuel Hidalgo dan Kpah Sherman kekal menjadi tunjang utama Tok Gajah, justeru perisai Gergasi Merah dituntut agar lebih berhati hati.
Ketiadaan Sergio Aguero ternyata melegakan Kinoshi yang dalam masa sama kekal berwaspada terhadap sebarang perubahan rencana skuad kendalian Fandi Ahmad itu.
"Penggantungan Aguero satu berita baik buat kami, kami menyedarinya.
"Apa pun kami fokus kepada gaya permainan kami, paling penting adalah tiga mata biarpun menang dengan satu gol.
"Walaupun ia tidak akan memuaskan hati penyokong kami, setidak-tidaknya kami perlu menang," katanya.
Must-Watch Video