Penyerang baru Selangor FC, Ayron Del Valle, berkata faktor usia bukan penghalang untuk dia memacu kejayaan buat pasukan Merah Kuning itu musim ini.

Del Valle diperkenalkan sebagai pemain import baru Selangor FC dalam Majlis Hari Jersi Selangor di Shah Alam hari ini.

Penyerang berusia 34 tahun itu merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Colombia dan meskipun sudah boleh dianggap pemain veteran, Del Valle yakin kudratnya masih mampu untuk membawa kegemilangan buat The Red Giants.

"Saya mungkin sudah berusia 34 tahun tetapi bagi saya, usia bukan satu masalah," katanya seperti yang dipetik Astro Arena.

"Saya masih cergas dan berprestasi baik musim lalu. Saya tahu kapasiti dan kemahiran yang dimiliki diri saya, jadi saya akan mencuba yang terbaik untuk pasukan ini," katanya.

Sebagai rekod, Del Valle merupakan pemain keenam ditandatangani Selangor musim ini selepas Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran, Faisal Halim, Noor Al Rawabdeb dan Rauf Salifu.


Kredit foto: Selangor FC