Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Tiada istilah kalah buat Perak jumpa Sri Pahang

perak-fc.jpg
Perak FC tidak rela pulang dengan tangan kosong apabila berhadapan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan petang ini.

Penolong jurulatih Perak, Shahrulnizam Mustapa, berkata tiada istilah kalah yang dimahukan pasukan itu biarpun sedar Sri Pahang memiliki kelebihan, terutama bermain di laman sendiri.

“Persiapan kami diteruskan macam biasa walaupun kami tidak dapat menurunkan skuad terbaik kerana masalah pengantungan dan kecederaan.

“Namun, kalau kita tengok dalam latihan sepanjang minggu ini, pemain faham dengan corak taktikal yang jurulatih Yusri Che Lah mahukan.

“Bagi saya, tiada istilah kalah. Kami sebenarnya pergi ke sana dengan harapan dapat curi mata dan kami tidak mahu pulang dengan tangan kosong," katanya.

Sebelum ini, Perak FC menamatkan kemarau kemenangan selepas tujuh perlawanan dengan menewaskan Kuching City FC 2-1 pada minggu lalu.

Ia sekali gus menjadi tonik berharga kepada pasukan itu untuk cuba meraih lebih banyak keputusan positif dalam perlawanan akan datang.

Dalam pada itu, Shahrulnizam menyifatkan kedatangan beberapa pemain baru ke dalam pasukan itu menyuntik lebih banyak elemen positif.

"Kalau kita tengok dengan kehadiran pemain baru ini, terutama pemain import, banyak perubahan positif dalam pasukan.

"Tetapi saya percaya lebih banyak yang mampu disumbangkan mereka selepas dua atau tiga perlawanan lagi, terutama apabila dapat membentuk keserasian dengan pemain sedia ada," katanya.

Skuad The Bos Gaurus itu telah membawa pertahanan import baru dari Korea Selatan, Youn do Kim, penyerang Serbia, Luka Milunovic, dan pemain tengah, Azali Alias.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video