TERENGGANU 3 PERAK 1
Terengganu menyekat kebangkitan Perak untuk meraih tiga mata pertama dalam saingan Liga Super 2024-25 apabila mencatatkan kemenangan 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi.
Gol pembukaan Nurillo Tukhtasinov, selain jaringan sendiri Shivan Pillay Asokan dan penyudah Nnabuike Chijioke memastikan skuad Peteh itu membenam cabaran 10 Pemain The Bos Gaurus selepas Luiz Motta dibuang padang.
Nurillo membuka jaringan buat tuan rumah seawal minit ketujuh menerusi percubaan jarak jauhnya untuk Terengganu memimpin permainan menuju ke bilik persalinan.
Perak cuba melakar kebangkitan dalam babak kedua dengan jaringan penalti yang disempurnakan ketua pasukan, Luciano Guaycochea, pada minit ke-61 selepas insiden Manuel Ott menjatuhkan Lee Tae-min.
Bagaimanapun, kebangkitan itu terbantut berselang lima minit apabila Shivan Pillay terjaring gol ke gawang sendiri susulan percubaan lambung pemain gantian, Nik Sharif Haseefy Lazim.
Perak kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Luiz Motta dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-76 gara-gara terjehan lewatnya ke atas Nik Sharif Haseefy.
Sang Penyu kemudian mengesahkan kemenangan mereka menerusi satu lagi gol pada minit ke-81 apabila Nnabuike menemui lorongan Engku Nur Shakir Engku Yacob sebelum menyudahkannya ke gawang lawan.
Keputusan lain:
PDRM 0 KEDAH DARUL AMAN 1
SRI PAHANG 1 KELANTAN DARUL NAIM 0
Muzaffar Musa
Sat May 11 2024