Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Serangan Sri Pahang kurang 'menyengat'

kpah-sherman-sri-pahang.jpg
Kejayaan Sri Pahang FC meraih tiga mata dengan menumpaskan Perak FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur semalam tidak sesekali menimbulkan rasa puas hati pengendalinya, Fandi Ahmad.

Di sebalik kejayaan itu, Fandi, bagaimanapun, kurang gembira dengan prestasi permainan keseluruhan pasukan berkenaan apabila banyak peluang gagal dimanfaatkan anak buahnya, terutama dalam babak pertama walaupun beberapa percubaan dilakukan pemain untuk mendapatkan gol pendahuluan.

"Saya OK dengan keputusan (menang) ke atas Perak tetapi secara keseluruhan saya tidak puas hati dengan bahagian serangan.

"Kalau dilihat serangan (dalam perlawanan) kurang menyerlah tetapi pemain lebih banyak tertumpu dan berada di kawasan pertahanan sendiri dan ini sebenarnya boleh mengundang padah kepada pasukan.

"Saya gembira dengan kemenangan ini walaupun hanya satu gol, kami masih boleh bersaing dengan pasukan teratas Liga Super," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan itu.

Dalam perlawnanan itu, penyerang import Tok Gajah, Kpah Sherman, muncul wira apabila jaringannya pada minit ke-55 membantu pasukan bimbingan Fandi itu mengutip tiga mata.

Dengan kemenangan itu, Sri Pahang kini mengutip 37 mata untuk berada di kedudukan keempat Liga Super.

Menjawab mengenai tempoh rehat dua minggu selepas ini, legenda bola sepak Singapura itu mengakui ia sedikit sebanyak mengganggu momentum Tok Gajah walaupun beberapa perlawanan persahabatan akan diadakan.

Ujarnya, berdepan dengan pasukan bawahan pasti memberi situasi berbeza dengan perlawanan sebenar.

"Kami hanya menjaringkan gol dalam perlawanan itu dan kurang tekanan jika beraksi dalam perlawanan sebenar seperti hari ini (semalam).

"Apa pun, saya harap dalam perlawanan akan datang, pemain dapat bermain dengan lebih baik, terutama persembahan meyakinkan di bahagian serangan," ujarnya lagi.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video