LIGA SUPER MSIA

Liga Super: Selepas tewaskan Penang, pemain JDT moreh nasi kandar

Stadium Astro
Najmi Iman
16/03/2025
23:28 MYT
Sponsor Banner
Liga Super: Selepas tewaskan Penang, pemain JDT moreh nasi kandar
Juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), terus mendominasi saingan tempatan dengan memperoleh kemenangan ke-20 musim ini selepas menewaskan Penang 3-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, semalam.
Rekod cemerlang itu menyaksikan Harimau Selatan kekal berada di tempat pertama dengan jurang mata yang sangat jauh, sekali gus secara rasminya diangkat sebagai juara berbanding naib juara Piala FA 2024, Selangor, yang menduduki tempat kedua.
Susulan tewas kepada wakil Thailand, Buriram United, dalam perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) minggu lalu, skuad kendalian Hector Bidoglio melunaskan misi 'lepas geram' kepada pasukan utara tanah air itu dengan kemenangan bersih untuk dibawa pulang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Dua tandukan Eddy Israfilov pada minit ke-20 dan ke-27 menerusi sepakan sudut memberi kelebihan awal JDT pada separuh masa pertama sebelum sepakan penjaring terbanyak Liga Thailand sebelum ini, Heberty Fernandes, menoktahkan kekalahan Penang di tempat sendiri.
Usai aksi tamat, bintang JDT menyambut kemeriahan tersebut dengan menjamu makanan popular di Penang iaitu nasi kandar sebagai santapan selepas bertarung selama 90 minit permainan.
Kelihatan pemain pinjaman, Syamer Kutty Abba, turut menikmati hidangan tersebut bersama bekas rakan sepasukannya di sebuah restoran.
Sudah pasti dianggap juadah moreh paling puas dalam bulan puasa ini!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video