LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Selangor tekad peroleh tiga mata bertemu Penang FC
Selepas mencatatkan kekalahan dalam aksi pertemuan bersama Sri Pahang 9 Julai lalu, pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe, berkata bahawa tahap mental pemain mengalami kemerosotan.
Cheng Hoe bagaimanapun kini yakin anak buahnya sudah kembali dalam tahap terbaik untuk memberi saingan kepada skuad Penang FC di Stadium MBPJ 15 Julai ini.
Menurutnya lagi, kelebihan bermain di laman sendiri perlu digunakan sebaiknya untuk memungut tiga mata penuh serta perbincangan bersama barisan kejurulatihan dilakukan untuk memastikan ketajaman penyudahan buat skuad The Red Giants itu dapat ditingkatkan.
Iklan
"Kekalahan terdahulu ternyata menjejaskan moral pasukan namun kami telah berjaya mengatasi perkara itu sebelum ini dan membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan akan datang," kata Cheng Hoe.
Selangor yang ketika ini menghuni tangga kedua liga masih berdepan dengan ketiadaan beberapa tonggak dalam barisan utama, pengendali itu mengakui ia merencatkan percaturan mereka di atas padang.
Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Wahid, sedia untuk memberikan cabaran sengit kepada Selangor esok.
Berbekalkan kemenangan 4-3 ke atas Kelantan Sabtu lalu, Manzoor berharap anak buahnya akan dapat meneruskan rentak kemenangan untuk cuba mencuri mata di gelanggang lawan.
"Kami telah membuat persiapan rapi untuk perlawanan bertemu Selangor. Kami perlu berhati-hati dengan kemampuan mereka dan berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan," katanya.
Must-Watch Video