LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Sabah tiada pilihan kecuali menang demi penyokong, kata Kim Swee
Sabah FC perlu melupakan memori dibelasah 1-5 oleh penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Rabu lalu.
Sebaliknya, pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee, menuntut pemainnya agar kembali menjadikan Stadium Likas sebagai gelanggang kebangkitan dalam mengharungi baki saingan Liga Super apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC malam esok.
Jelas Kim Swee, kelab Kepulauan Borneo itu tiada pilihan lain selain menang berdepan The City Boys dalam memastikan pasukan di tangga kelima liga itu terus mendaki kelompok terbaik.
Iklan
"Pemain Sabah perlu segera melupakan badi kekalahan dengan jumlah jaringan yang besar kepada JDT tempoh hari.
"Keputusan positif berdepan Kalau Lumpur City penting bagi memastikan Sabah kembali ke landasan sebenar dalam perebutan kelompok terbaik selepas keciciran mata baru-baru ini.
"Sabah memerlukan keputusan positif serta tidak boleh mengalami kekalahan demi kekalahan sehingga menyukarkan pemburuan kedudukan terbaik liga.
"Pemain juga harus segera memperbaiki keputusan dalam perlawanan-perlawanan terakhir liga bagi mengembalikan keyakinan penyokong tegar Sabah," katanya.
Anak buah Kim Swee akan melayan kunjungan angkatan Nenad Bacina, yang menggantikan pengendali terdahulu, Bojan Hodak, yang menyahut cabaran bersama kelab liga Indonesia, Persib Bandung.
Bacina pula dijangka menampilkan aksi lebih garang selepas tewas 1-3 kepada Selangor FC dalam perlawanan 'Derby Lembah Klang' pada Selasa lalu.
Sebagai rekod, Sabah tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 5 April lalu.
Gol jaringan T Saravanan pada minit ke-15 separuh masa pertama diikuti jaringan Sean Gan Giannelli (m-95) sudah cukup menyaksikan Sabah tenggelam di Cheras.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video