Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Sabah buntu gugat kedudukan Selangor, Terengganu pesta gol di Temerloh

darren-lok.jpg
SELANGOR 0 SABAH 0


Sabah melepaskan peluang untuk merapatkan jurang dalam perebutan tempat kedua Liga Super apabila seri tanpa jaringan ketika menghadapi Selangor, sebentar tadi. 

Pelawat memulakan perlawanan lebih garang dengan percubaan di Stadium MBPJ selepas hanya dua minit permainan yang menyaksikan Stuart Wilkin diselamatkan penjaga gawang Selangor, Kalamullah Al Hafiz.

Selangor turut berpeluang memecah kebuntuan, namun tandukan kapten pasukan, Safuwan Baharuddin, terkena palang dan menuju ke masa rehat, Cifu terlepas peluang untuk menghukum pintu gol pelawat.

Penjaring terbanyak Gergasi Merah, Ronnie Fernandez, turut mencuba nasib tetapi sekadar melepaskan rembatan liar ke kubu lawan.







Kedua-dua pasukan kemudian saling melancarkan asakan dalam pemburuan tiga mata. 

Darren Lok seharusnya memanfaatkan peluang terhidang di depan gol pada minit ke 51 dan penyudah penyerang kebangsaan itu sekali lagi tidak menjadi. 

Kali ini dia gagal melunaskan tugasan sebagai penyepak penalti pada minit ke-74 selepas Fazly Mazlan didapati mengasari Saddil Ramdani.

Keputusan ini mengekalkan barisan kendalian Katsuhito Kinoshi di tangga kedua Liga Super berbaki empat perlawanan musim ini. 



SRI PAHANG 1 TERENGGANU 5

Sementara itu, pertembungan 'derby' Pantai Timur di Temerloh menyaksikan Terengganu unggul 5-1 ke atas Sri Pahang.

Pesta gol anak buah Badrul Afzan bermula seawal minit ke-3 menerusi Akhyar Rashid sebelum pemain pinjaman kelahiran dungun, Safawi Rasid, menggandakan kelebihan pelawat hasil rembatan deras daripada luar kotak penalti.

Malang bertimpa buat skuad Tok Gajah apabila sepakan percuma Manuel Ott bijak dibaca Safwan Mazlan yang berada tepat di hadapan gawang Sri Pahang untuk membuat penyudah susulan bagi meletakkan kem pelawat terus selesa dengan kedudukan 3-0!

Kem tuan rumah cuba merapatkan jurang kepada 1-3 pada minit ke-39 hasil jaringan Sergio Aguero. 

Namun, ia hanya menyemarakkan semangat Terengganu yang terus bernafsu memburu tambahan jaringan. Kelincahan Ismahil Akinade menerjah gawang tuan rumah untuk Terengganu selesa di depan hasil kelebihan 4-1 sebelum usaha Ott melengkapkan malam gemilang Terengganu.


 

Advertisement

Must Watch Video