LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Perak tagih sentuhan Seonung lawan Penang
Penyerang Perak FC, Seo Seonung, dijangka memperkuatkan cabaran The Bos Gaurus menjelang aksi Liga Super berdepan Penang FC di Stadium Perak, Ipoh malam ini.
Menurut pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, pemain berusia 22 tahun itu telah pun kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan yang lain.
“Apa yang boleh saya katakan, perkembangan terkini mengenai Seonung positif.
Iklan
"Pasukan perubatan juga sedang menilai keadaan semasa Seonung, malah kami telah membeli topeng pelindung untuknya.
"Sejujurnya Seonung merupakan pemain penting buat pasukan, sekiranya dia cergas, dia akan bermain esok (malam ini)," katanya.
Pada 3 Ogos lalu, penyerang dari Korea Selatan itu mengalami patah hidung selepas ditendang di bahagian muka oleh pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Celvin, pada minit ke-60 perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Perak.
Tindakan Rodney itu menyaksikan pertahanan skuad Kenari berkenaan dilayangkan kad merah, yang kemudiannya dimanfaatkan tuan rumah untuk kemenangan 3-1.
Susulan insiden itu, Rodney kemudian mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada Perak FC, Seonung dan penyokong The Bos Gaurus.
Dalam pada itu, Yusri berharap pemain Perak dapat mengekalkan rentak positif ketika melayan kunjungan skuad bimbingan Manzoor Azwira berkenaan.
Jelasnya, kemenangan ke atas Kedah sebelum ini menjadi pembakar semangat kepada pemainnya untuk meraih keputusan positif.
"Jadi momentum itu perlu diteruskan apabila berdepan Penang FC di tempat sendiri ditambah pemain mula mendapat keyakinan diri.
"Keputusan perlawanan ini juga penting kepada pasukan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga
"Pemain saya mula berasa yakin, terima kasih kepada pemain baru kami. Matlamat kami adalah untuk mendaki kedudukan dan menamatkan saingan dengan baik musim ini," katanya.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video