Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Perak FC masih cari rentak 'bunuh' lawan

perak-fc-vs-sri-pahang.jpg
Perak FC mengakui masih mencari rentak dan keserasian pemain yang boleh 'membunuh' pasukan lawan sehingga menyebabkan pasukan itu tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur semalam.

Penolong ketua jurulatih Perak, V. Saravanan berkata, banyak peluang untuk menjaringkan gol disia-disiakan pemain tetapi berpuas hati dengan persembahan pasukannya dalam perlawanan itu.

Saravanan turut menyifatkan kekalahan menentang Sri Pahang itu adalah disebabkan nasib tidak menyebelahi mereka.

"Boleh juga (kalah) dengan nasib tapi kami kena ada kualiti yang boleh 'membunuh' dan mencipta peluang itu.

"Semua ini masih dalam proses dan kami perlukan banyak perancangan untuk mencari keserasian dan rentak kerana setiap minggu ada kecederaan, ubah posisi (pemain), jadi ia memerlukan sedikit masa (dapatkan rentak dan keserasian)," katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan itu. 

Enggan terus kecewa dengan kekalahan berkenaan, Saravanan menegaskan prestasi yang ditampilkan pemain Perak cukup membanggakan pasukan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata kesungguhan pemain dapat dilihat apabila mereka berhempas pulas untuk mendapat gol menerusi beberapa peluang keemasan.

"Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Saya puji dengan kesungguhan pemain, terutama daripada segi sikap, tenaga dan gaya permainan yang menunjukkan peningkatan.

"Kalau begini persembahannya, saya yakin kami akan dapat sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang," katanya lagi.

Dalam perlawanan petang semalam, Kpah Sherman menafikan impian Perak apabila penyerang import Sri Pahang itu menjaringkan gol tunggal dalam babak kedua.

Kekalahan itu meletakkan skuad Seladang berkenaan berada di kedudukan ke-11 liga dengan mengutip 13 mata daripada 18 perlawanan

Kredit: Sinar Harian


 

Advertisement

Must Watch Video