Perak FC akan mempertimbangkan bantahan rasmi terhadap beberapa keputusan pengadil ketika perlawanan di antara pasukan itu dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam.

Ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kelemahan pengadilan perlawanan berkenaan kerana bimbang dikenakan tindakan denda atau digantung.

Jelasnya, dalam perlawanan itu, kekasaran yang dilakukan pihak lawan menyebabkan Perak FC kehilangan tonggak utama akibat kecederaan termasuk penyerang, Seo Seonung.

"Kalau saya beritahu dengan jujur (tentang mutu pengadilan) tentu saya akan digantung. Lebih baik saya tak cakap dengan jujur.

"Kami nak perlawanan yang adil itu sahaja. Kamu suruh saya terima begini sebagai jurulatih? Nanti kalau kami kata macam-macam mereka denda saya.

"Kita perlukan orang yang betul-betul buat sesuatu supaya dua-dua pihak dapat keadilan. Itu sahaja permintaan kami. Sekarang Seo (Seonung) cedera. Kecederaan dialami sangat teruk dan kami mungkin akan kemukakan bantahan," katanya selepas perlawanan di Stadium Perak itu.

Mengenai kekalahan besar 5-0, Teong Kim menganggap kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya menyebabkan keputusan itu selain mengakui JDT bukan lawan mudah.

Katanya, semua pemain sudah maklum mengenai kekuatan JDT dan mereka juga sudah tahu bagaimana strategi perlawanan tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Tambahnya, gol-gol JDT kecuali sepakan percuma memang menerusi gerakan-gerakan mudah yang sepatutnya dikawal baik, sekali gus mengelak dibolosi dengan jumlah yang besar.

Sementara itu, pengendali JDT, Esteban Solari enggan mendabik dada di sebalik kemenangan besar berterusan yang diperoleh dalam saingan Liga Super ketika ini.

"Kami sangat puas hati dengan keputusan hari ini walaupun bukan mudah dari mula. Kami menjaringkan lima gol ia satu prestasi yang baik. Pada saya, setiap perlawanan merupakan satu cabaran untuk kami perbaiki kelemahan dan memberikan pemain konsentrasi.

"Kemenangan tujuh perlawanan berturut-turut sesuatu yang membanggakan tetapi perjalanan masih jauh dan kami kena terus merendah diri, terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan serta buktikan bahawa setiap perlawanan lebih baik daripada perlawanan sebelumnya," katanya.

Kredit: Sinar Harian