LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Perak calar rekod lima aksi tanpa kalah KL City
Kuala Lumpur (KL) City terpaksa akur dengan kebangkitan Perak dalam baki 45 minit permainan selepas tewas 1-2 dalam perlawanan minggu ke-24 Liga Super 2024/25 di Stadium Cheras, sebentar tadi.
Pasukan tuan rumah turun dengan rekod lima perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga semestinya mendambakan tiga mata berharga walaupun tanpa khidmat Brendan Gan dan Kenny Pallraj yang digantung, sementara Haqimi Azim yang terpalit masalah kesihatan.
Aksi seimbang dalam babak pertama dengan anak buah Miroslav Kuljanac yang lebih dominan mengawal bahagian tengah, malah Paulo Josue tenang menyempurnakan umpanan J.Perthiban pada minit ke-31 untuk jaringan pertama dan mendahului terlebih dahulu.
Iklan
Begitupun, Yusri Che Lah yang menukar taktikal dalam separuh masa kedua membuahkan hasil selepas pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti dengan Luciano Guaycochea mudah menjaringkan gol penyamaan.
Pada minit ke-80 menjadi saksi kebangkitan Perak selepas Azfar Fikri menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan The City Boy dan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan Perak berada di tangga ketujuh dengan 27 mata, manakala KL City berkelebihan satu mata untuk berada di kedudukan keenam dalam saingan liga.
Must-Watch Video