Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Penang tegur FIB lanjut tarikh akhir pelesenan kelab

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

penang.jpg
Pengurusan Penang menegur First Instance Body (FIB) berhubung keputusan melanjutkan tarikh akhir pemuatan dokumen pelesenan kelab, sambil mendesak badan bebas itu agar lebih menghargai kelab-kelab yang telah menunjukkan disiplin dan profesionalisme dengan mematuhi tarikh akhir tanpa gagal.

Susulan pengumuman rasmi FIB mengenai lanjutan tarikh akhir pelesenan bagi kitaran 2024–2025 sehingga 10 Mei, Penang menzahirkan kebimbangan serius bahawa kecenderungan memberi kelonggaran berulang kali bakal memberi kesan buruk kepada ekosistem bola sepak negara.

Dalam kenyataan tegas pada Khamis, Penang menyatakan bahawa walaupun memahami cabaran yang dihadapi oleh sesetengah kelab, amalan melanjutkan tarikh akhir secara berulang adalah satu langkah ke belakang dan boleh menggalakkan sikap sambil lewa terhadap pematuhan peraturan liga.

Penang turut meluahkan rasa terkilan apabila usaha gigih kelab-kelab yang mematuhi syarat pelesenan dalam tempoh ditetapkan seolah-olah tidak dihargai, apabila tiada bentuk insentif atau pengiktirafan diberikan.

Malah, kelab itu menyifatkan lanjutan tarikh akhir sebagai 'tamparan hebat' yang mencalarkan prinsip kesaksamaan dalam saingan liga.

“Tanpa ketegasan terhadap tarikh akhir, krisis kewangan yang membelenggu sesetengah kelab akan terus membarah, menjejaskan operasi harian, kebajikan pemain dan pegawai, keyakinan penaja serta sokongan akar umbi yang menjadi nadi bola sepak tempatan.

“Membenarkan kelab yang gagal memenuhi keperluan asas pelesenan untuk terus bertanding bukan sahaja mencetuskan ketidakseimbangan, malah menjejaskan kredibiliti Liga Malaysia (Liga M) di mata umum.

“Ia memberi isyarat yang salah bahawa komitmen dan pematuhan boleh dikompromi.

“Langkah ini turut mencemarkan reputasi negara dalam konteks pelesenan kelab di bawah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), serta menghalang usaha memperkukuh tadbir urus dan profesionalisme dalam pengurusan kelab.

“Penang merayu agar FIB mula mengangkat dan menghormati kelab-kelab yang berusaha keras mematuhi peraturan, demi memelihara maruah dan masa depan bola sepak Malaysia yang lebih berdaya saing dan berwibawa," menurut kenyataan di https://www.facebook.com/PenangFC .

Kredit: Sinar

Advertisement

Must Watch Video