Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Nafuzi lega Kedah kembali ke landasan kemenangan atasi Sri Pahang

kedah-sri-pahang.jpg
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, lega pasukannya kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 dalam aksi ke-19 Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman malam tadi.

Menurutnya, momentum itu penting buat Sang Kenari selepas mereka tewas mengejut 1-3 kepada Perak FC dalam perlawanan pertama Piala Malaysia 2023 minggu lalu.

"Saya tengok malam ini, kami bermain dengan karakter dan mentaliti yang berbeza kalau kita tengok dari awal hingga ke akhir perlawanan ini.

"Kami bermain dengan pasukan yang baik seperti Pahang mempunyai kualiti pemain yang bagus, bukannya senang (untuk menang) kerana kita tengok mata kami pun sama (sebelum perlawanan), jadi perlawanan malam ini penting.

"Kami bermain dengan tekanan setelah kalah perlawanan sebelum ini, jadi saya rasa daripada segi karakter, ia berubah malam ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Mengulas penampilan J. Partiban dalam aksi kedua bersama Sang Kenari, Nafuzi melihat pemain yang dibawa masuk dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2023 itu masih perlu diberikan peluang bagi menyesuaikan diri dengan taktikal pasukannya walaupun menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu.

Pada masa yang sama, Nafuzi menjelaskan KDA FC berpeluang untuk menamatkan saingan di tempat terbaik musim ini jika Sang Kenari dapat mengekalkan tempo dan momentum kemenangan.

"Bagi saya peluang kami ada (mengejar Selangor di kedudukan kedua Liga Super). Perkara ini bergantung kepada pasukan kami sendiri.

"Agak sukar tapi tak mustahil. Kami selepas ini dalam tempoh berdepan dengan pasukan besar seperti Penang, Johor Darul Ta'zim dan Kuala Lumpur City, yang bagi saya agak mencabar," katanya.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video