PIALA MALAYSIA
Liga Super: Lawan JDT peluang PDRM perbaiki kelemahan sebelum gempur Selangor
Kejayaan penyandang juara PDRM mara ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup 2024/25 musim ini menjadi tonik terbaik apabila kembali menyingkap baki saingan Liga Super menentang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu.
Malah, pengendali The Cops, P. Maniam, mengakui pemain-pemainnya teruja untuk meneruskan momentum positif menewaskan Kedah Darul Aman FC dalam aksi separuh akhir di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu lalu di laman Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio.
Iklan
“Perlawanan berdepan pasukan berkualiti seperti JDT ini juga secara tidak langsung memberikan peluang kepada pemain PDRM untuk memperbaiki kelemahan masing-masing sebelum berdepan Selangor dalam perlawanan akhir.
“Biarpun begitu saya perlu melihat kembali kepada prestasi semasa pemain seperti Shahrel Fikri, Ifedayo Olusegun, Hadi Fayyadh sebelum menurunkan kesebelasan terbaik menentang pasukan berkualiti seperti JDT.
“Perlawanan ini juga peluang kepada beberapa pemain yang sebelum ini yang tidak diturunkan untuk menampilkan aksi terbaik masing-masing dalam menyaingi pemain-pemain JDT,” katanya pada Selasa.
Sebagai rekod, anak buah Maniam sebelum ini berjaya mengikat JDT, 1-1 dalam perlawanan liga di Stadium Selayang pada Julai lalu.
PDRM yang menduduki tangga ketujuh liga selepas ini akan berdepan dengan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 15 Februari diikuti timbal balik kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 22 Februari. - Sinar Harian
Must-Watch Video