LIGA SUPER MSIA
Liga Super: KL City buat Terengganu terus menangis
Kuala Lumpur City berjaya mengubati duka tersingkir daripada Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup apabila memperoleh kemenangan 2-1 menewaskan Terengganu dalam perlawanan Liga Super Malaysia di Gong Badak, sebentar tadi.
Seawal minit ke-15, pertahanan Harimau Malaya, Safwan Mazlan, melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti yang menembusi gawang Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy untuk meletakkan skuad tuan rumah di hadapan 1-0.
Saingan kekal seimbang di separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan bertukar serangan, namun Sang Penyu dilihat semakin rakus mencari gol tambahan.
Iklan
Sebelum tamat 45 minit yang pertama, tandukan ke belakang Shahrul Nizam Ros Hasni mengakibatkan ancaman berbahaya yang menyaksikan ketua pasukan skuad Warga Kota, Paulo Josue, meledak jaringan penyamaan 1-1.
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 14, 2025
Skuad kendalian Miroslav Kuljanac terus bernafsu mencorak strategi demi memastikan tiga mata penuh berjaya dibawa pulang.
Anak buah Badrul Afzan Razali gagal memanfaatkan bermain di hadapan penyokong kesayangan apabila setiap asakan tidak membuahkan hasil, sebaliknya buntu di hadapan gol.
Kedudukan Patrick Reichelt tidak ofsaid, sekali gus video bantuan pengadil (VAR) membenarkan tampanan jaringannya untuk The City Boys kembali ke ibu kota dengan kegembiraan selepas tersingkir daripada Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup, minggu lalu.
Untuk rekod, ini merupakan kemenangan pertama KL City pada tahun 2025 termasuk kejayaan menumpaskan Terengganu buat kali pertama dalam aksi liga dalam tempoh 28 tahun di tempat lawan.
Must-Watch Video