KUALA LUMPUR CITY 2 NEGERI SEMBILAN 1

Kemarau kemenangan Negeri Sembilan berlarutan kepada 11 perlawanan liga berturut-turut apabila tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City dalam aksi Liga Super di Cheras sebentar tadi.

Kali terakhir skuad Jang itu meraih kemenangan ialah ketika menewaskan Sri Pahang 2-0 pada 23 Julai lalu -- yang merupakan satu-satunya kemenangan mereka dalam saingan liga musim ini.

Dalam aksi kali ini, mereka dibedil dua gol pantas tuan rumah yang digarap ketua pasukan, Paulo Josue.

Paulo membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi percubaan lencong dari sebelah kanan yang menuju tepat ke penjuru atas gawang Negeri Sembilan.

Berselang tiga minit, Paulo membantu jaringan kedua The City Boys, kali ini menerusi sepakan penjurunya, yang ditanduk kencang pemain tengah, Brendan Gan.

Negeri Sembilan memberikan respons dengan gol tandukan Jacque Faye pada minit ke-36 tetapi mereka gagal menemui jaringan penyamaan untuk kekal terperosok di tangga tercorot liga dengan hanya enam mata daripada 15 perlawanan.

KL City, dalam pada itu, meningkat ke tangga kelapan dengan himpunan 17 mata.