Kelantan United mahu melakar kemenangan berdepan Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Sarawak malam esok.

Penolong jurulatih, Nazrulerwan Makmor, berkata kemenangan itu penting dalam mendapatkan semula rentak selepas merekodkan lima kekalahan dalam perlawanan sebelum ini.

"Selain itu, kemenangan amat penting buat kami untuk mendapatkan semula keyakinan dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam carta.

"Alhamdulillah, moral barisan pemain kami berada di tahap terbaik dan mereka dilihat sudah melupakan kekalahan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Nazrulerwan, bagaimanapun, memberitahu Kelantan United tetap menghormati kemampuan pasukan lawan itu, yang dibarisi ramai pemain berkualiti.

Ujarnya, serangan balas pantas lawan perlu diawasi bagi mengelakkan Kelantan United keciciran mata dalam perlawanan itu.

"Kedatangan kami ke sini (Kuching) untuk meraih keputusan positif dan kami sudah bersedia," katanya.

Kelantan United kini menduduki tangga tercorot Liga Super selepas mengumpul satu mata setelah enam perlawanan.

Kredit: Sinar Harian