Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Kedah tangguh kejuaraan JDT di Stadium Darul Aman

manuel.jpg
Kedah Darul Aman (KDA FC) berjaya mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-3 dalam aksi Liga Super penuh dramatik di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan cuba mencari rentak untuk mengatur langkah mengawal permainan.

Peluang terbaik Kedah hadir pada minit kesembilan menerusi Moses Atede yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti namun rembatannya berjaya diselamatkan Syihan Hazmi Mohamed.

Selang seminit selepas itu, Juan Muniz berpeluang untuk mencetak nama sebagai penjaring namun rembatan jarak jauh pemain dari Sepanyol itu diselamatkan Ifwat Akmal di gawang Kedah.

Kedua-dua pasukan terus mengatur serangan bagi mendapatkan jaringan pembukaan. Kedah akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-35 melalui jaringan Ifedayo Olusegun yang menanduk sepakan sudut dari Manuel Hidalgo.

Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT terus mengasak ke kubu Kedah melalui gandingan Bergson dan Heberty di barisan hadapan.

Bergson memiliki peluang terhidang apabila menerima hantaran daripada Arif Aiman namun rembatan derasnya berjaya diselamatkan Ifwat.

Bersambung separuh masa kedua, Kedah menggandakan jaringan pada minit ke-50 menerusi Manuel Ott yang menyempurnakan hantaran Manuel Hidalgo.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Corbin Ong merapatkan kedudukan pada minit ke-52 sebelum Heberty menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Sepuluh minit selepas itu, Ifedayo sekali lagi mempunyai peluang keemasan namun rembatan derasnya dari luar kotak penalti terkena tiang.

Pada minit ke-74, JDT akhirnya mendahului perlawanan buat kali pertama, larian solo bintang muda itu melepasi benteng pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan percubaan mengatasi Ifwat.

Kedah tidak berputus asa apabila melancarkan serangan demi serangan dan akhirnya berjaya memperoleh jaringan ketiga yang merupakan jaringan penyamaan menerusi Amirbek Juraboev,

Kedudukan 3-3 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, keputusan seri itu memaksa JDT menunggu lagi untuk ditabalkan sebagai juara Liga Super.

Advertisement

Must Watch Video