Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, percaya keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Super menentang Pulau Pinang di Stadium Likas semalam mungkin berubah sekiranya video bantuan pengadil (VAR) dapat digunakan.
Menurutnya, Sabah mungkin dapat memperoleh penalti jika VAR berfungsi selepas bola didakwa terkena tangan pemain pelawat dalam kotak penalti pada minit ke-77.
"Kalau ada VAR mungkin ada penalti untuk Sabah tetapi kami harus terima apabila saat-saat terakhir VAR tidak dapat digunakan.
"Tetapi dalam perlawanan akan datang mungkin dengan adanya VAR akan bertambah baik daripada segi keputusan untuk membantu pengadil," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Difahamkan, VAR tidak dapat digunakan dalam perlawanan itu pada saat akhir selepas mengalami masalah teknikal.
Dalam pada itu, Kim Swee juga kurang berpuas hati dengan keputusan seri berkenaan apatah lagi dia mengharapkan tiga mata dalam perlawanan pertama itu.
"Kami tidak mendapatkan keputusan yang dimahukan tetapi secara keseluruhan, kami mengawal permainan dengan baik dan kami harus memperbaiki aspek penyudah kerana banyak peluang yang kami cipta, namun tak dapat jaringkan gol.
"Sudah tentu bermain di tempat sendiri tanpa mendapatkan kemenangan pertama akan memberikan sedikit impak kepada permulaan musim baru," katanya.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Mon May 13 2024